Pages

Tuesday 15 September 2015

Hatinya Dilembutkan Dengan Kasih Sayang

Entri 11

Teks: Norul Khairiah Idris
Foto: Carian Google

Hari ini, seperti biasa rutinku selepas menyiapkan makan tengahari, berehat bersama anak-anak sambil menonton rancangan temubual bersama muallaf yang mula mengenali Islam.

Mengikuti cerita muallaf yang dilembutkan hati-hati mereka untuk memeluk Islam sangat mengujakan. Menyelami pengalaman mereka yang indah buat aku meyakini bahawa Islam adalah benar merupakan fitrah setiap manusia. Pada suatu ketika yang ditentukan-Nya, dengan akhlak mulia yang ditunjukkan oleh seorang muslim yang lain, seseorang itu kembali kepada fitrah asal dengan tenang.

Dalam episod kali ini, muallaf bernama Karem (saya lupa nama asalnya) bercerita pengalamannya bagaimana dia mula terpikat dengan Islam. Dibesarkan dalam keluarga datuknya yang kuat berpegang dengan Katholik dan ayahnya seorang Protestan menyebabkan mereka hidup dalam perbalahan. Ayahnya yang tidak mahu menjadikan agama sebagai perbalahan dalam keluarga, memberi kebebasan sepenuhnya kepada Karem untuk memilih kepercayaannya.

Meningkat remaja, Karem banyak bergaul dengan rakannya dalam kumpulan pengakap. Rakan-rakannya kerap mengajaknya mengikuti amalan ritual di gereja, namun beliau tidak pernah rasa gembira dan terpikat dengan ajaran agamanya. Namun, dia tetap yakin bahawa Isa itu adalah Nabi utusan Tuhan. Ada beberapa pandangan yang dia tidak bersetuju menjadikan hatinya sentiasa bertanya apakah agama yang benar untuk manusia.

Diringkaskan cerita, detik bagaimana dia mula mengenali Islam lebih dekat apabila pada suatu hari di sebuah kedai. Pemilik kedai sedang membaca al-Quran. Apabila Karem masuk, pemilik kedai itu memberhentikan bacaannya dan bertanya " Ya encik, mahu beli telefon bimbit?" . Karem senyum, seolah terlupa tujuannya ke kedai itu. Terus Karem bertanya kembali "Apa yang tuan baca tadi?". "oohh..ini al-Quran.". Karem menambah "teruskan bacaan tuan". Pada masa itu, Karem tidak berhajat untuk memahami al-Quran sekadar menghormati pemilik kedai yang sedang khusyuk membaca ayat-ayat dari al-Quran.

Seusai menghabskan bacaannya, pemilik kedai itu lantas mengajak Karem pergi ke seberang jalan. Karem mengikuti sekadar memenuhi pelawaan dari kawan baru. Apabila sampai di sebuah kedai, pemilik itu membeli al-Quran lantas memberikannya kepada Karem. Karem terkejut lantas menolak kerana merasakan dia bukan siapa-siapa untuk dibelikan suatu yang berharga seperti itu. Kawan barunya itu lantas meletakkan al-Quran dalam genggaman Karem dan berkata "Ambillah, mungkin satu hari nanti kamu perlukannya. Dia tidak mampu menolak melihat kawan muslimnya itu benar-banar ingin menghadiahkan "cenderahati" itu kepadanya.

Kemudian mereka berjalan-jalan lagi, dan pemilik kedai tadi mempelawanya makan bersama. Bagaikan telah wujud kemesraan Karem menerima pelawaan itu dan menyambung perbualan namun tidak menyentuh tentang Islam. Selesi makan, sekali lagi kawan muslimnya membayar bil mereka. Terbit satu perasaan luarbiasa apabila Karem mula jatuh cinta dengan Islam. Betapa mereka tidak mengenali satu sama lain, kawan yang baru dikenalinya itu melayannya lebih daripada saudara. Dan hatinya bertanya "Adakah ini Islam?" Kemudian selepas mengucapkan terima kasih, mereka meminta diri untuk pulang.

Bermula detik itu, Karem mula berjinak-jinak pergi ke masjid. Bukan untuk solat tetapi ingin melihat suasana orang Islam di masjid. Karem sangat terpegun melihat mereka yang Muslim datang dari pelbagai bangsa dan waarna kulit solat bersama-sama.

Beberapa kali pergi ke masjid, suatu hari Imam masjid datang menegur Karem di belakang jemaah. Mungkin melihat Karem selalu datang ke masjid tapi tidak bersolat menimbulkan tanda tanya kepada Imam. Kemudian bermulalah Imam menerangkan rukun Islam yang menjadi pegangan setiap mukmin.

Di akhir perbualan, Imam bertanya "Adakah kamu telah bersedia menerima Islam?' Dengan yakin Karem menjawab dia sudah bersedia. Namun seketika, dia merasa ragu-ragu sehinggalah Imam melafazkan "Asyhadu " dan dia mengikutinya hingga ke akhir lafaz kalimah syahadah, hatinya terus lapang. Bagaikan mendapat sinar baru dalam hidup, Karem merasa seoalh-olah inilah yang dicarinya selama ini.

Dan bermulalah kehidupan Karem yang lebih bahagia dan tenang sehingga dia yakin bahawa dia telah kembali kepada fitrah sebenar.

Kemudian, beliau menyambung pengajian dalam bidang bahasa dan berusaha mendalami bahasa Arab untuk mendalami Al-Quran dengan lebih baik. Dia juga telah menyambung PhD dalam sejarah Islam kerana mahu memberi kefahaman kepada mereka yang lain bahawa Islam adalah agama perdamaian dan kasih-sayang.

Alhamdulillah, begitulah cerita Karem seorang muallaf yang menemui Islam dengan akhlak seorang muslim yang melahirkan kasih sayang walaupun berlainan kepercayaan.

Cerita di atas di antara pengalaman yang menjadi iktibar buat diriku bahawa Islam itu dizahirkan dengan akhlak yang mulia. Dan itulah juga perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W, bahawa baginda diutus untuk menyempurnakan akhlak ummatnya. Perbualan di atas saya petik dari apa yang diceritakan oleh Karem sendiri dan saya ringkaskan.

Alhamdulillah, azan Maghrib sudah pun berkumandang. Tiba masa untuk bersiap menyahut panggilan Ilahi. Sehingga bertemu lagi. Saya doakan kita semua sentiasa dalam petunjuk dan hidayah Yang Esa.
Wassalamualaikum warahmatullahi waBarakatuh.

No comments:

Post a Comment