Entri 6
Teks: NORUL KHAIRIAH IDRIS
Foto: NORUL KHAIRIAH IDRIS
Assalamualaikum mommies semua.
Alhamdulillah, syukur di hari minggu bila dapat meluangkan masa bersama keluarga. Sebagai ibu dan
isteri, tiada yang lebih membahagiakan bagi saya melebihi melihat ahli keluarga
sihat, ceria dan bahagia.
Hari ni, Nor nak share tips yang dikongsi oleh pakar motivasi Dr
Fadzilah Kamsah bagaimana kita semua boleh amalkan untuk membina keluarga
bahagia. Sesungguhnya, kebahagiaan itu tidak datang sendiri. Ia perlu dipupuk
disemai bersama-sama.
Sebagai hambaNya, panjatkanlah setiap saat agar Dia sentiasa
mengurniakan mawaddah wa rahmah dalam keluarga kita.
Saya doakan anda semua menemui kebahagiaan anda semua. Sesungguhnya apa
yang kita miliki hari ini adalah kerana kurniaan daripada Allah S.W.T.
Semoga tips ini dapat kita ambil manfaat bersama. Selamat beramal
mommies yang hebat semua:
50 Tips Terbaik Membina Keluarga Bahagia Oleh Dr Fadzilah Kamsah:
1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan
berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa.
2. Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri
anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan
adalah yang terbaik.
3. Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk
sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh
dibanggakan oleh isteri anda.
4. Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami
tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun.
Senyumlah apabila sampai ke rumah.
5. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua
isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda
luangkan unutk berbual dengan isteri setiap hari ?
6. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda
sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia
apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.
7. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan
yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami
isteri.
8. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa
dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir
masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.
9. Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat
menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan
hubungan. Elakan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.
10. Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi
bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.
11. Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunah yang dapat
meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan menbahagiakan pasangan
anda.
12. Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin. Amalan bermesyuarat
menarik hidayat Tuhan,mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.
13. Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan
ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan
Penampilan diri sendiri. Mana adil ?
14. Didik isteri dengan memberi nasihat dan perigatan secara hikmah.
Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakan
cakap tak serupa bikin.
15. Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan
kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai
suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumah tangga
terancam.
16. Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan dan
kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia
membentuk keluarga sejahtera
17. Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga
juga patuh kepada Tuhan.
18. Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara
sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain.
Ini wajib dihentikan.
19. Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang
menbeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami yang memusuhi
keluarga isteri. Anda bagaimana ?
20. Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan
endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya
ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.
21. Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami.
Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan
isteri mudah masuk syurga.
22. Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri
merajuk bukan sebab ditegur, tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami
kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.
23. Gunakan Nabi Muhammad sebagai model. Hidupkan amalan sunah dalam
rumah tangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi
mendapat hikmah.
24. Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib
memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya.
Elakan kesilapan ini.
25. Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan,
telefon ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang.Wasiatkan isteri untuk
sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.
26. Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut
usia, penuh kemaafan, memberi tenaga,tidak pernah sensara serta berteraskan
iman dan takwa.
27. Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan
keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah.
Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.
28. Pamer keprihatian yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak
ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang
patut berikan kepada keluarga.
29. Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar,
waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.
30. Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki
cuba hormat wanita tertentu sahaja.Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang
menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.
31. Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi
Muhammad amat pemalu, pemaaf, peka,endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang
ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita.
32. Mahir dalam menguruskan keluarga. Peka dengan masalah dan karenah
ahli keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan
memilih penyelesaian yang optimum.
33. Membaiki diri secara berterusan. Tingkatkan iman dan takwa, cuci
hati dengan sembahyang taubat, istighfar,memaafkan dan minta maaf, berkawan
dengan orang yang baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan dan tindakan.
34. Jadi contoh atau model terbaik untuk keluarga. Doa dan usaha supaya
setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga. Apakah
sifat dan amal anda yang dapat dicontohi oleh ahli keluarga ?
35. Jadikan diri anda pendorong dan motivator berkesan unutk keluarga.
Sentiasa beri galakan dan belaian. Elak marah, kritik ataupun hina keluarga.
Fikir positif dan bersangka baik terhadap keluarga.
36 Tingkatkan ilmu berkenaan agama. Lazimnya, suami yang mendidik
keluarga berkenaan agama. Belajarlahilmu agama dengan niat mendidik diri dan
keluarga.
37. Sentiasa menegakkan kebenaran. Tegas menyatakan apa yang buruk dan
apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli
keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah.
38. Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi. Tegas dalam
menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Tegas
sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak.
39. Latih diri memuji dan menghargai isteri. Ramai suami yang pandai
kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan
membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji.
40. Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Ini termasuk
senyum, lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh,
sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah.
41. Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami. Suami pula berjauhan
dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel
unutk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu.
42. Bentuk kerjasama yang mantap dengan isteri. Pamer kesatuan hati dan
pendapat kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melalui mesyuarat,
berbual, tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyak berdoa.
43. Nilai diri daripada kaca mata isteri. Buang sifat dan amalan yang
isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri
bahagia, suami akan bertambah bahagia.
44. Apabila suami melayan isteri seperti mana dia melayan kawan, pasti
isteri bahagia. Bayangkan cara anda melayan isteri sebelum kahwin. Ulangi
layanan itu sekarang. Pasti hebat kesannya.
45. Suami wajar belajar jadi mengikut setia. Patuhi cadangan, Pandangan
dan pandapat isteri yang betul. Jangan bangkang perkara yang baik. Kawal macho
dengan saksama.
46. Buat undang-undang dalam rumah tangga. Apabila suami marah, isteri
mesti senyap. Apabila isteri marah,suami mesti senyap. Ini mengelakkan daripada
bergaduh. Orang tidak boleh bergaduh sendirian.
47. Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri.
Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri,
bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan
dalam hati.
48. Pimpin isteri dengan nasihat dan kasih sayang. Pesan selalu dan
nasihat sekali-sekala. Waktu terbaik nasihat adalah semasa rehat, minum petang,
waktu bersiar-siar dan semasa hendak tidur.
49. Seimbangkan hidup dengan sempurna. Rajin di tempat kerja, Rajin juga
di rumah. Peramah dengan kawan, peramah juga dengan isteri. Disiplin di
pejabat, disiplin juga di rumah. Sabar dengan orang, sabar juga dengan isteri.
Di luar dan di dalam rumah serupa.
50. Urus stress dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas, lakukan
riadah, berdiet, hentikan merokok,bercampur dengan orang positif, bermain
dengan bayi, tengok ikan di akuarium, menyanyi, sembahyang taubat dan maafkan
semua orang.
Kebanyakan tips di atas, banyak ditujukan kepada suami kan. Namun,
sebagai isteri yang sentiasa mahu menjadi teman terbaik buat suami, kita juga
perlu berusaha melakukan perkara yang suami sukai. Insha Allah jika kita
sama-sama berusaha memberi yang terbaik, Allah akan ganjarkan setiap keikhlasan
kita.
Inilah keluarga kecil saya. Abah Mama, abang Iman dan adik aisyah (yang
lebih manja dipanggil ecah) hehe. Sampai di sini dulu ye mommies semua. InshaAllah hingga bertemu lagi.

No comments:
Post a Comment